Anda pelawat ke

Soal Jawab Ibadah Aqiqah

norwarizaDiselenggarakan oleh :
Ustazah Norwariza Mohd Hed
B.A (Hons) Syariah Islamiah, Al-Azhar, Mesir

SOALAN

Aqiqah menurut Islam
1: Apakah itu aqiqah?
2: Bagaimanakah sejarah bermulanya ibadah aqiqah?
3: Apakah hukum melaksanakan aqiqah?
4: Apakah hikmah melaksanakan ibadah aqiqah?
5: Siapakah yang dituntut oleh Islam untuk melaksanakan aqiqah?
6: Apakah perbezaan antara aqiqah dan korban?
7: Bilakah waktu paling baik untuk melaksanakan aqiqah?
8: Apakah yang perlu dibaca ketika penyembelihan haiwan aqiqah?

Ketentuan aqiqah untuk anak lelaki dan perempuan
1: Apakah ketentuan aqiqah bagi anak lelaki dan anak perempuan?
2: Apakah haiwan sembelihan yang dibolehkan untuk ibadah aqiqah?
3: Bolehkah seekor kambing dikongsi oleh dua orang anak bagi tujuan aqiqah?
4: Bolehkah mengaqiqahkan anak lelaki dengan seekor kambing sahaja?
5: Bolehkah berkongsi tujuh orang (bahagian) bagi seekor lembu dalam ibadah aqiqah?
6: Adakah wajib menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki dalam ibadah aqiqah?

Had umur anak dan perlaksanaan aqiqah untuk orang lain
1: Berapakah had umur untuk seseorang itu melaksanakan tuntutan aqiqah?
2: Saya berumur 30 tahun, saya difahamkan oleh ibu bapa bahawa saya belum diaqiqahkan, bolehkah saya melaksanakan aqiqah untuk diri saya?
3: Anak saya berumur 26 tahun, beliau belum kami aqiqahkan disebabkan masalah kewangan, bolehkah saya melaksanakan aqiqah untuknya sekarang?
4: Bolehkah mengaqiqahkan anak yatim dengan menggunakan hartanya?
5: Bolehkah mengaqiqahkan ibu bapa yang telah meninggal dunia?

Penggunaan daging dan tulang haiwan aqiqah
1: Benarkah daging haiwan aqiqah sunat dimasak manis?
2: Apakah hikmah daging aqiqah sunat dimasak manis?
3: Apakah hikmah tulang haiwan aqiqah tidak boleh dipatah-patahkan?’
4: Bolehkah haiwan sembelihan aqiqah dijadikan hidangan untuk kenduri kahwin?

Mewakilkan pihak lain melaksanakan aqiqah
1: Bolehkah melaksanakan aqiqah anak di tempat lain atau di luar negeri?
2: Bolehkah mewakilkan penyembelihan aqiqah anak kepada pihak tertentu?
3: Bolehkah seseorang itu melaksanakan aqiqah tanpa melihat penyembelihan haiwan aqiqahnya?

Pengagihan daging haiwan aqiqah
1: Siapakah yang layak menerima daging sembelihan aqiqah?
2: Bolehkah mengagihkan daging aqiqah kepada jiran yang bukan Muslim?
3: Bolehkah bersedekah dengan kesemua daging aqiqah?
4: Bolehkah diberikan sebahagian daripada daging aqiqah kepada bidan yang menyambut anak?
5: Apakah sunnah memberikan kaki haiwan aqiqah kepada bidan yang menyambut kelahiran anak?
6: Bolehkah menjual kulit haiwan aqiqah?
7: Bolehkah seseorang menjual sebahagian daripada daging aqiqah anaknya?

Hukum melumurkan darah haiwan aqiqah pada anak atau pintu rumah
1: Apakah hukum melumurkan darah haiwan sembelihan aqiqah ke atas kepala anak yang baru dilahirkan?
2:Apakah hukum bagi orang yang melumuri pintu rumah dengan darah haiwan aqiqah ataupun korban bagi tujuan dijauhkan dari syaitan?

Sunnah lain yang boleh dilakukan pada hari penyembelihan aqiqah
1: Apakah sunnah lain yang boleh dilakukan pada hari penyembelihan aqiqah anak?
2: Adakah sunat mengkhatankan anak pada hari aqiqah?
3: Apakah yang boleh dilakukan jika hari ketujuh anak jatuh pada Hari Raya Korban?


SOALAN & JAWAPAN

Aqiqah menurut Islam

1: Apakah itu aqiqah?
J: Aqiqah menurut bahasa ialah ‘memotong’. Pada asalnya ia merujuk pada rambut yang terdapat pada kepala bayi ketika bayi tersebut keluar dari rahim ibunya, rambut itu dinamakan aqiqah kerana ianya harus dipotong (dicukur).
Menurut istilah pula aqiqah ialah haiwan yang disembelih kerana bayi atau untuk bayi yang dilahirkan. Dinamakan sembelihan itu dengan aqiqah adalah kerana haiwan tersebut disembelih pada hari mencukur rambut kepala bayi itu. Wallahuaklam

Top

2: Bagaimanakah sejarah bermulanya ibadah aqiqah?
J: Diriwayatkan oleh Buraidah bahawa, “Pada zaman Jahiliyyah apabila kami mendapat seorang anak lelaki, maka kami menyembelih seekor kambing, maka kami mencukur kepala bayi tersebut, lalu kepalanya kami sapu dengan darah kambing yang disembelih itu”.

Menurut riwayat Ibnu Sakan pula, “Orang-orang Jahiliyyah meletakkan kapas yang telah dicelup dengan darah aqiqah lalu kapas yang penuh dengan darah tersebut disapu ke ubun-ubun bayi yang baru saja dilahirkan itu. Setelah datangnya Islam, perkara itu tidak dibenarkan oleh Rasullullah SAW. Baginda menyuruh menggantikannya dengan meletakkan haruman kasturi pada kepala bayi yang baru dilahirkan itu.

Apabila kita melihat penjelasan tentang sejarah ibadah aqiqah seperti di atas, tradisi aqiqah ini adalah suatu tradisi yang diterima oleh Islam dengan mengadakan pembetulan pada bahagian-bahagian tertentu. Hikmah penyembelihan aqiqah itu diterima oleh Islam kerana aqiqah itu merupakan suatu upacara yang memperlihatkan kegembiraan, mensyukuri nikmat, serta merupakan suatu ibadah sosial. Wallahuaklam

Top

3: Apakah hukum melaksanakan ibadah aqiqah?
J: Hukum melaksanakan aqiqah untuk anak yang baru dilahirkan adalah sunat dan sangat-sangat digalakkan dalam Islam. Pendapat yang sedemikian adalah pendapat jumhur imam-imam dan ahli fiqh. Oleh itu hendaklah ibu bapa melaksanakannya jika ada kemampuan untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW ini. Sehingga ia juga akan menerima keutamaan dan pahala di sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis:
“Sesungguhnya manusia pada hari kiamat nanti akan diminta tanggungjawabnya atas aqiqah, sebagaimana akan diminta tanggungjawabnya atas solat-solat lima waktu.” Wallahuaklam

Top

4: Apakah hikmah melaksanakan ibadah aqiqah?
J: Hikmah di sebalik pelaksanaan ibadah aqiqah itu sangat banyak, hanya Allah yang mengetahuinya, akan tetapi ulama telah menggariskan beberapa hikmah yang dapat difahami, antaranya:
Pertama, aqiqah itu merupakan suatu ibadah yang bertujuan mendekatkan diri anak kepada Allah SWT dari peringkat awal lagi.
Kedua,sebagai fidyah (tebusan) untuk menebus diri anak dari segala mara bahaya dan bala bencana, sebagaimana Allah telah menebus Nabi Ismail dengan seekor kibas.
Ketiga, sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran atas kurniaan anak dan nikmat rezeki.
Keempat, mengukuhkan lagi pertalian kekeluargaan dan hidup bermasyarakat melalui jamuan dan agihan lauk daripada daging aqiqah.
Kelima, untuk mendapatkan ganjaran di sisi Allah pada hari kiamat.
Wallahuaklam

Top

5: Siapakah yang dituntut oleh Islam untuk melaksanakan aqiqah?
J: Aqiqah merupakan suatu bentuk ibadah apabila seseorang itu dikurniakan anak oleh Allah S.W.T. Maka ia dituntut ke atas setiap ibu bapa yang dikurniakan anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T. Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W menuntut untuk dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diaqiqahkannya.” Hadis Riwayat Tirmidzi. Wallahuaklam

Top

6: Apakah perbezaan antara aqiqah dan korban?
J: Antara perbezaan yang wujud di antara aqiqah dan korban ialah;

  1. Aqiqah dituntut perlaksanaannya sekali seumur hidup, manakala ibadah korban disunatkan perlaksanaannya setiap tahun iaitu pada Hari Raya Haji.
  2. Daging sembelihan aqiqah sunat diagihkan setelah dimasak, adapun daging sembelihan korban pula sunat diagihkan dalam keadaan mentah.
  3. Tidak digalak mematahkan tulang haiwan sembelihan aqiqah, sebaliknya haiwan sembelihan korban tidak dilarang.
  4. Sunat menghadiahkan kaki kanan haiwan sembelihan aqiqah kepada bidan yang menyambut kelahiran, berbeza dengan korban tidak disunatkan demikian.

Wallahuaklam

Top

7: Bilakah waktu paling baik untuk melaksanakan aqiqah?
J: Dalam menentukan waktu yang terbaik untuk seseorang itu melaksanakan aqiqah, kita perhatikan pandangan Imam Ahmad ibn Hanbal yang menyatakan bahawa penyembelihan aqiqah dilaksanakan pada hari ketujuh, jika tidak dapat maka pada hari keempat belas, jika tidak dapat juga maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu. Adapun jika pada hari-hari tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana tidak berkemampuan, maka penyembelihan boleh dilakukan pada hari-hari lain yang memungkinkannya melaksanakan aqiqah tersebut.
Rasulullah S.A.W bersabda;
“ Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh, dan dicukur serta diberi nama.” Hadis riwayat Ahmad & Tirmidzi.
Wallahuaklam

Top

8: Apakah yang perlu dibaca ketika penyembelihan haiwan aqiqah?
J: Sudah menjadi intipati amalan dalam Islam bahawa setiap amalan itu perlu didahului dengan doa. Ini bagi menambahkan lagi kesempurnaan sesuatu ibadah itu. Maka dalam konteks penyembelihan haiwan aqiqah, pertama, saudara perlu membaca Bismillahirrahmanirrahim. Kemudian diikuti dengan doa “Oh Tuhan, ini adalah aqiqah si Polan (sebut nama anak), ia merupakan nikmat daripada-Mu, dan kepada-Mu kami kembalikan.” Wallahuaklam

Top

Ketentuan aqiqah untuk anak lelaki dan perempuan

1: Apakah ketentuan aqiqah bagi anak lelaki dan anak perempuan?
J: Perlaksanaan ibadah aqiqah dianjurkan untuk anak lelaki dan juga anak perempuan, sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud;
“Anak lelaki diaqiqahkan dengan dua ekor kambing dan anak perempuan diaqiqahkan dengan seekor kambing.” Hadis riwayat Ahmad & Tirmidzi.
Dalam sebuah hadis lain Rasulullah bersabda;
“Rasulullah S.A.W telah memerintahkan kepada kami untuk mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor kambing dan anak perempuan dengan satu ekor kambing.” Hadis riwayat Ibn Abi Syaiban.
Hadis di atas secara keseluruhannya menunjukkan dua perkara;
Pertama; baik anak lelaki mahupun perempuan, sama-sama disyariatkan supaya dilaksanakan aqiqah.
Kedua; perbezaan bahawa anak lelaki dengan dua ekor kambing sedangkan anak perempuan dengan satu ekor kambing. Wallahuaklam

Top

2: Apakah haiwan sembelihan yang dibolehkan untuk ibadah aqiqah?
J: Menurut jumhur ulama, haiwan yang dibolehkan untuk disembelih bagi ibadah aqiqah ialah unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan kibas. Pelaksanaan penyembelihan haiwan tersebut di dalam ibadah aqiqah juga mempunyai syarat-syarat tertentu seperti berikut;

  1. Unta berumur 5 tahun dan masuk tahun ke 6.
  2. Lembu atau kerbau berumur 2 tahun masuk tahun ke 3.
  3. Kambing atau biri-biri berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi.
  4. Kibas berumur 1 tahun atau telah bersalin gigi.
  5. Haiwan tersebut juga disyaratkan tidak cacat.

Wallahuaklam

Top

3: Bolehkah seekor kambing dikongsi oleh dua orang anak bagi tujuan aqiqah?
J: Menurut hadis-hadis yang diriwayatkan berkenaan dengan penentuan jumlah atau bahagian haiwan ternakan yang perlu bagi ibadah aqiqah, kita dituntut melaksanakan aqiqah dengan menyembelih dua ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor kambing untuk anak perempuan atau seekor kambing bagi anak lelaki jika kurang berkemampuan. Walau bagaimanapun tidak ada hadis yang menyatakan keharusan berkongsi seekor kambing untuk dua orang anak bagi ibadah aqiqah. Jika seseorang kurang berkemampuan menunaikan tuntutan itu serentak, maka tunaikanlah seorang demi seorang anak dalam perlaksanaan aqiqah mengikut kemampuan. Wallahuaklam

Top

4: Bolehkah mengaqiqahkan anak lelaki dengan seekor kambing sahaja?
J: Anak lelaki sebaik-baiknya diaqiqahkan dengan 2 ekor kambing, akan tetapi seekor kambing sudah memadai bagi tujuan menunaikan tuntutan ibadah aqiqah tersebut. Ini kerana Rasulullah S.A.W. sendiri melaksanakan aqiqah untuk cucu baginda dengan seekor kambing sahaja.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan;
“Bahawa Rasulullah S.A.W telah mengaqiqahkan Hassan dan Hussain dengan satu ekor biri-biri.” Hadis riwayat Abu Daud.
Wallahuaklam

Top

5: Bolehkah berkongsi tujuh orang (bahagian) bagi seekor lembu dalam ibadah aqiqah?
J: Seperti yang kita sama-sama ketahui bahawa bagi anak lelaki sunat diaqiqahkan dengan 2 ekor kambing, dan bagi anak perempuan sunat diaqiqahkan dengan 1 ekor kambing, akan tetapi jika sekiranya seekor lembu atau unta disembelih dengan niat menggantikan tujuh ekor kambing atau 7 bahagian aqiqah, maka ia dibolehkan. Wallahuaklam

Top

6: Adakah wajib menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki dalam ibadah aqiqah?
J: Aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki itu bukanlah suatu kemestian, kerana Rasulullah S.A.W sendiri telah melaksanakan aqiqah cucu Baginda, Hassan dan Hussain dengan masing-masing seekor kambing.
Dalam sebuah hadis telah diriwayatkan;
“Bahawa Rasulullah S.A.W telah mengaqiqahkan Hassan dan Hussain dengan satu ekor biri-biri.” Hadis riwayat Abu Daud.
Wallahuaklam

Top

Had umur anak dan perlaksanaan aqiqah untuk orang lain

1: Berapakah had umur untuk seseorang itu melaksanakan tuntutan aqiqah?
J: Berhubung dengan persoalan saudara tentang had umur bagi perlaksanaan aqiqah, sebenarnya ada pendapat yang menyatakan bahawa had umur seseorang bagi melaksanakan aqiqah ialah sehingga anak itu baligh. Walau bagaimanapun, mengikut pandangan Dr. Wahbah Az-Zuhaili di dalam kitabnya Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, bahawa “(Aqiqah) Tidak dikhususkan kepada anak ketika kecil, maka ibu bapa perlu melaksanakan aqiqah anak yang lahir walau selepas ia baligh, kerana tiada tempoh akhir bagi ibadah aqiqah.” Wallahuaklam

Top

2: Saya berumur 30 tahun, saya difahamkan oleh ibu bapa bahawa saya belum diaqiqahkan, bolehkah saya melaksanakan aqiqah untuk diri saya?
J: Saudara, mengikut pendapat Mazhab Imam Hanbali, seseorang itu boleh melaksanakan aqiqah bagi dirinya sendiri sebagai suatu keharusan bukan sebagai suatu tuntutan, ini kerana tuntutan perlaksanaan aqiqah untuk diri saudara adalah di atas tanggungjawab ibu bapa saudara, oleh kerana mereka tidak berkemampuan sehingga saudara dewasa, maka saudara dibolehkan melaksanakannya sendiri berdasarkan pandangan Imam Hanbali tersebut. Wallahuaklam

Top

3: Anak saya berumur 26 tahun, beliau belum kami aqiqahkan disebabkan masalah kewangan, bolehkah saya melaksanakan aqiqah untuknya sekarang?
J: Saudari, perlaksanaan aqiqah sebaik-baiknya dilaksanakan semasa anak berumur 7 hari atau 14 hari atau 21 hari atau sebelum baligh, akan tetapi aqiqah tidak dihadkan kepada anak kecil yang baru lahir sahaja, ianya juga dituntut kepada mereka yang sudah dewasa yang belum dilaksanakan aqiqah atas apa-apa sebab, maka ibu bapa hendaklah mengaqiqahkan anak mereka walaupun selepas mereka baligh kerana tiada had masa bagi tuntutan ibadah aqiqah. Wallahuaklam

Top

4: Bolehkah mengaqiqahkan anak yatim dengan menggunakan hartanya?
J: Aqiqah adalah salah satu bentuk sedekah. Bersedekah dengan harta orang lain tidak dibenarkan di dalam Islam. Sedangkan orang yang menjaga harta anak yatim hanya pemegang amanah sementara waktu sahaja sehingga anak itu baligh. Maka melaksanakan aqiqah bagi pihak anak yatim dengan menggunakan harta anak yatim adalah tidak dibenarkan dalam Islam. Wallahuaklam

Top

5: Bolehkah mengaqiqahkan ibu bapa yang telah meninggal dunia?
J: Aqiqah seperti yang kita ketahui adalah sebahagian daripada konsep bersedekah dalam mencari keredhaan dan mengharapkan pahala daripada Allah S.W.T. Seperti amalan sedekah lainnya yang sunnah dilakukan demi menyampaikan pahala kebajikan amalan tersebut kepada si mati, maka jika sekiranya saudari berniat ingin berbuat demikian dan saudari benar-benar mengetahui bahawa ibu bapa saudari belum diaqiqahkan, maka laksanakan dan berdoa kepada Allah S.W.T supaya menerima amalan yang saudari ingin laksanakan. Akan tetapi sekiranya ibu bapa ada mewasiatkan demikian maka wajib ditunaikan. Wallahuaklam

Top

Penggunaan daging dan tulang haiwan aqiqah

1: Benarkah daging haiwan aqiqah sunat dimasak manis?
J: Memang benar apa yang nyatakan, berbeza dengan korban yang dagingnya sunat diagihkan secara mentah, aqiqah pula sunat dimasak dengan masakan yang manis-manis dan dibuat jamuan atau diagihkan setelah dimasak. Dalam sebuah hadis riwayat Al-Baihaqi dari Aisyah R.A.;
“Menyedekahkan daging aqiqah dalam keadaan sudah dimasak itu adalah sunnah.” Wallahuaklam

Top

2: Apakah hikmah daging aqiqah sunat dimasak manis?
J: Inilah antara perbezaan yang ada di antara korban dan aqiqah, daging korban sunat diagihkan dalam keadaan mentah, manakala daging aqiqah pula sunat diagihkan setelah dimasak dengan masakan yang manis. Adapun hikmah kenapa kita disarankan memasak daging aqiqah dengan masakan yang manis-manis ialah kerana ia sebagai doa harapan baik (tafa-ul), mudah-mudahan akhlak dan kelakuan anak tersebut akan menjadi baik dan manis dipandang. Wallahuaklam

Top

3: Apakah hikmah tulang haiwan aqiqah tidak boleh dipatah-patahkan?
J: Kita dituntut supaya tidak mematahkan tulang-tulang haiwan sembelihan aqiqah, akan tetapi sunnah dipotong mengikut sendi-sendi haiwan tersebut. Ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, iaitu ketika Fatimah binti Muhammad S.A.W. mengadakan aqiqah anaknya, maka Rasulullah S.A.W. bersabda; “Makan dan jamulah seleramu tetapi janganlah kamu memecahkan tulangnya”.
Antara hikmah di sebaliknya tuntutan tersebut ialah supaya anak-anak tersebut akan membesar dengan sempurna dan tidak ditimpa perkara yang boleh mencacatkannya sehingga patah dan lain-lain. Wallahuaklam

Top

4: Bolehkah haiwan sembelihan aqiqah dijadikan hidangan untuk kenduri kahwin?
J: Di samping menunjukkan kesyukuran kepada Allah S.W.T terhadap kurniaan anak, antara tujuan utama dianjurkan ibadah aqiqah di dalam Islam ialah untuk mengeratkan tali persaudaraan sesama keluarga, jiran, rakan taulan, dan orang Islam yang miskin dengan mengadakan kenduri dan jamuan, maka mengikut pendapat Imam Syafie menyembelih haiwan aqiqah dan membuat kenduri kahwin pada masa yang sama adalah dibolehkan. Wallahuaklam

Top

Mewakilkan pihak lain melaksanakan aqiqah

1: Bolehkah melaksanakan aqiqah anak di tempat lain atau di luar negeri?
J: Bagi menjawab pertanyaan tersebut, maka di sini kita kemukakan pandangan Sayid Al-Bakri dalam kitabnya I’anatut Tolibin, beliau menyatakan bahawa sah dan boleh berwakil pada pembelian korban dan aqiqah, dan boleh pula berwakil untuk menyembelihnya walaupun orang yang empunya diri berada di luar negeri. Wallahuaklam

Top

2: Bolehkah mewakilkan penyembelihan aqiqah anak kepada pihak tertentu?
J: Telah menjadi suatu amalan umat Islam di mana-mana bahawa mereka mewakilkan penyembelihan aqiqah kepada pihak tertentu, sama ada imam masjid, tukang sembelih atau syarikat tertentu seperti yang berlaku di Makkah sama ada pada musim Haji mahupun di luar musim Haji. Maka mewakilkan penyembelihan aqiqah kepada pihak lain yang dipercayai dan amanah adalah suatu yang dibenarkan oleh agama bagi memudahkan umat Islam melaksanakannya. Ini bertepatan dengan pendapat Sayid Al-Bakri di dalam kitabnya I’anatut Tolibin. Wallahuaklam

Top

3: Bolehkah seseorang itu melaksanakan aqiqah tanpa melihat penyembelihan haiwan aqiqahnya?
J: Sayid Al-Bakri dalam kitabnya I’anatut Tolibin menyatakan bahawa adalah sah dan boleh berwakil pada pembelian korban dan aqiqah dan boleh pula berwakil untuk menyembelihnya walaupun orang yang empunya diri berada di luar negeri. Ini bermakna orang yang dimaksudkan oleh Sayid Al-Bakri itu sudah tentu tidak dapat melihat sendiri aqiqah yang dilaksanakan bagi pihaknya oleh pihak tertentu. Maka hukumnya adalah dibolehkan. Wallahuaklam

Top

Pengagihan daging haiwan aqiqah

1: Siapakah yang layak menerima daging sembelihan aqiqah?
J: Mereka yang paling layak menerima sedekah adalah orang fakir dan miskin dari kalangan umat Islam, begitu juga dengan aqiqah, mereka yang paling layak menerima adalah orang miskin di kalangan umat Islam. Walau bagaimanapun berdasarkan beberapa buah hadis dan amalan Rasulullah dan para sahabat, kita disunatkan juga memakan sebahagian daripada daging tersebut, bersedekah sebahagian dan menghadiahkan sebahagian lagi. Apa yang membezakan aqiqah dan korban ialah kita disunatkan memberikan sebahagian kaki kambing aqiqah tersebut kepada bidan yang menyambut kelahiran tersebut. Wallahuaklam

Top

2: Bolehkah mengagihkan daging aqiqah kepada jiran yang bukan Muslim?
J: Kegembiraan serta kesyukuran kita menyambut kelahiran tidak akan meriah atau begitu dirasakan jika tidak diraikan bersama saudara mara terdekat dan jiran tetangga. Maka semua mereka yang disebut tadi perlu merasakan sesuatu bagi sama-sama meraikan kegembiraan kita, bahagian yang diagihkan kepada orang Islam dipanggil sedekah, adapun yang diberikan kepada orang bukan Islam dipanggil hadiah. Dan memangpun menjadi hak jiran itu sama ada Muslim atau sebaliknya merasa gembira dengan kegembiraan kita dan bersedih dengan kesedihan kita, maka kita berpendapat bahawa menghadiahkan sedikit masakan jamuan aqiqah kepada jiran yang bukan Muslim tidak bertentangan dengan tujuan asal sambutan aqiqah itu dianjurkan. Bahkan jika kita tidak menghadiahkan sedikit makanan kepada jiran tersebut ianya akan membawa kesan yang kurang baik seperti perasaan kecil hati, tekanan perasaan anak-anak jiran yang terbau masakan jamuan tersebut dan lain-lain. Wallahuaklam

Top

3: Bolehkah bersedekah dengan kesemua daging aqiqah?
J: Memang tujuan sebenar tuntutan aqiqah ialah bersedekah bagi melahirkan kesyukuran atas kurniaan anak yang baru dilahirkan, akan tetapi jika sekiranya seseorang ingin mengambil keberkatan ibadah tersebut dengan memakan sedikit daripadanya adalah dibolehkan. Walau bagaimanapun bersedekah dengan semua daging aqiqah tersebut kepada yang memerlukan amatlah baik. Wallahuaklam

Top

4: Bolehkah diberikan sebahagian daripada daging aqiqah kepada bidan yang menyambut anak?
J: Memang kita dituntut memberikan sebahagian daging aqiqah kepada bidan yang menyambut dan merawat anak yang baru dilahirkan itu, bahkan kita disarankan memberikan kaki belakang sebelah kanan haiwan yang disembelih tersebut kepada bidan berkenaan. Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim yang disahihkannya, bahawa “Fatimah telah melakukan hal sedemikian itu atas perintah Rasulullah S.A.W.” Wallahuaklam

Top

5: Adakah sunnah memberikan kaki haiwan aqiqah kepada bidan yang menyambut kelahiran anak?
J: Memang benar apa yang dinyatakan. Adalah disunatkan memberi kaki kanan belakang haiwan sembelihan aqiqah anak kita kepada bidan yang menyambut dan merawat anak tersebut. Ini bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W seperti dalam sebuah hadis riwayat Al-Hakim yang disahihkannya, bahawa “Fatimah telah melakukan hal sedemikian itu atas perintah Rasulullah S.A.W.” Wallahuaklam

Top

6: Bolehkah menjual kulit haiwan aqiqah?
J: Hakikat aqiqah sebenarnya adalah suatu bentuk sedekah, maka apa yang terbaik bagi sesuatu sedekah itu benar-benar dapat dimanfaatkan oleh pihak ketiga iaitu saudara mara, jiran tetangga dan orang miskin di kalangan umat Islam, maka menjual sesuatu daripada haiwan aqiqah itu mengurangkan nilai sedekah yang ingin dicapai dalam ibadah aqiqah tersebut. Maka jumhur ulama mengatakan bahawa tidak boleh dijual apa-apa bahagian daripada haiwan sembelihan aqiqah tersebut. Tetapi ada pendapat dalam mazhab Hanbali mengatakan ia boleh dijual asalkan nilai tersebut dimanfaatkan oleh masyarakat awam. Wallahuaklam

Top

7: Bolehkah seseorang menjual sebahagian daripada daging aqiqah anaknya?
J: Hikmah agama Islam menggalakkan kita melaksanakan ibadah aqiqah ialah untuk menunjukkan rasa syukur dengan berkongsi nikmat Allah S.W.T. dengan umat Islam yang lain terutama saudara mara yang terdekat dan saudara seagama yang kurang bernasib baik Adapun menjual daging tersebut tidak dapat mencapai matlamat tersebut, maka menjual daging aqiqah adalah tidak dibolehkan. Wallahuaklam

Top

Hukum melumurkan darah haiwan aqiqah pada anak atau pintu rumah

1: Apakah hukum melumurkan darah haiwan sembelihan aqiqah ke atas kepala anak yang baru dilahirkan?
J: Adalah makruh melumurkan darah haiwan sembelihan aqiqah di kepala anak yang diaqiqahkan. Ini kerana Rasulullah melarang daripada perbuatan yang sedemikian. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah R.A.;
“Mereka di zaman jahiliyyah menyapu darah haiwan aqiqah dengan kain lalu dilumur ke atas kepala anak yang baru dilahirkan itu, maka Nabi S.A.W memerintahkan mereka menukarkan darah tersebut dengan wangian.” Wallahuaklam

Top

2: Apakah hukum bagi orang yang melumuri pintu rumah dengan darah haiwan aqiqah ataupun korban bagi tujuan dijauhkan dari syaitan?
J: Adapun orang yang melumuri pintu rumah mereka dengan darah aqiqah atau korban adalah salah dan haram dari hukum agama. Ini kerana ia termasuk perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah S.A.W, dan kepercayaan yang mengatakan akan dijauhi syaitan apabila menyapu darah korban ataupun aqiqah pada pintu rumah adalah bertentangan dengan pegangan akidah umat Islam. Wallahuaklam

Top

Sunnah lain yang boleh dilakukan pada hari penyembelihan aqiqah

1: Apakah sunnah lain yang boleh dilakukan pada hari penyembelihan aqiqah anak?
J: Berdasarkan kepada amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat, maka beberapa sunnah boleh dilakukan pada hari penyembelihan aqiqah tersebut, antaranya;

  1. Mencukur rambut bayi tersebut pada hari ketujuh kelahirannya.
  2. Memberikan nama pada bayi tersebut.
  3. Bersedekah dengan emas atau perak seberat rambutnya yang telah dicukur.
  4. Mengkhatan bayi tersebut.

Wallahuaklam

Top

2: Adakah sunat mengkhatankan anak pada hari aqiqah?
J: Memang benar, mengkhatankan anak pada hari ketujuh dan hari penyembelihan aqiqahnya adalah sunat. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Al-Baihaqi daripada Aisyah R.A. “Bahawasanya Nabi S.A.W mengkhatankan Hassan dan Hussain pada hari ketujuh dari hari kelahiran mereka.” Wallahuaklam

Top

3: Apakah yang boleh dilakukan jika hari ketujuh anak jatuh pada Hari Raya Korban?
J: Pada Hari Raya Korban kita disunatkan menyembelih haiwan korban, begitu juga pada hari ketujuh kelahiran seorang anak, kita dituntut melaksanakan aqiqah untuk anak tersebut, jadi apabila bertemu Hari Raya Korban bertepatan dengan hari ketujuh kelahiran anak, maka mengikut pandangan ulama mazhab Imam Ahmad ibn Hanbal, saudara boleh menggabungkan niat perlaksanaan aqiqah anak dengan niat korban, seperti mana jika bertemu hari Jumaat dengan hari raya maka saudara boleh niatkan mandi sunat keduanya dengan sekali mandi sahaja. Wallahuaklam

Top

Rujukan:

1. Al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’ – Khotib Syarbini
2. Fiqh Islami – Wahbah Az-Zuhaili
3. Fiqh As-Sunnah – Sayyid Sabiq
4. Sirajul Wahhaj ‘Ala Matnil Minhaj Lil Imam Nawawi.
5. Korban & Aqiqah – Haji Ahmad Fuad Said
6. Panduan Aqiqah Khatan & Korban – Muhammad Isa Selamat
7. Ibadat Korban, Hukum & Cara Pengendaliannya – Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.

29 Responses to “Soal Jawab Ibadah Aqiqah”

  • shahrezal says:

    saya ingin bertanya,
    saya ingin meng aqiqah kan anak lelaki saya. Boleh kah sekiranya saya sembelih seekor kambing dahulu dan kemudian seekor lagi pada tahun atau masa akan datang?
    atau hukum aqiqah mewajibkan sembelih 2 ekor kambing sekaligus?

  • MOHD YADI HUSSIN says:

    Saya ingin tahu ,jikalau anak perempuan yang sudah berumur 21 dan 18 tahun apakah saya masih boleh melaksanakan Aqiqah

  • admin says:

    Assalamualaikum wrt wbt

    Saudara, perlaksanaan aqiqah sebaik-baiknya dilaksanakan semasa anak berumur 7 hari atau 14 hari atau 21 hari atau sebelum baligh, akan tetapi aqiqah tidak dihadkan kepada anak kecil yang baru lahir sahaja, ianya juga dituntut kepada mereka yang sudah dewasa yang belum dilaksanakan aqiqah atas apa-apa sebab, maka ibu bapa hendaklah mengaqiqahkan anak mereka walaupun selepas mereka baligh kerana tiada had masa bagi tuntutan ibadah aqiqah. Wallahuaklam

    Ustz Norwariza Mohd Hed
    Ketua Urus Setia
    Program Korban Eidhul Adha & Aqiqah di Kemboja

  • Maisarah says:

    Assalamualaikum wrt wbt

    Saya ingin bertanya, kami telah membeli seekor lembu untuk melaksanakan aqiqah bagi pihak suami, saya, 2 anak perempuan dan seorang anak lelaki. Pelaksanaan tersebut telah dilaksanakan pada hari raya Qurban. Adakah sah pelaksanaan aqiqah kami itu atau ia dianggap sebagai ibadat qurban sahaja.

    Sekian, terima kasih.

  • admin says:

    Waalaikum salam wrt wbt

    Untuk pengetahuan Puan, pelaksanaan aqiqah boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja (sepanjang tahun) tidak tertakluk kepada waktu yang tertentu. Jika memang telah diniatkan satu ekor lembu tersebut untuk pelaksanaan aqiqah keluarga (suami, puan, anak lelaki dan 2 orang anak perempuan) walaupun pelaksanaannya disempurnakan pada hari raya Qurban, pelaksanaan tersebut tetap sah dan dikira pelaksanaan aqiqah. wallahuaklam

    Ustz Norwariza Mohd Hed
    Ketua Urus Setia
    Program Korban Eidhul Adha & Aqiqah di Kemboja

  • Husna says:

    Assalamualaikum wrt wbt.
    Harap ustazah dapat jelaskan mana yang lebih afdal, aqiqah dengan 1 ekor kambing atau 1 bahagian lembu. Jika kita mengikut sunnah Rasulullah, baginda aqiqahkan cucunda2 baginda dengan seekor kambing. Tambahan pula kos untuk aqiqah seekor kambing lebih dpd 1 bhg lembu. Saya bercadang untuk menjlnkan ibadah aqiqah untuk anak2 saya di kemboja tahun ini tapi masih keliru untuk membuat pemilihan.
    Terima kasih.

  • admin says:

    Assalamualaikum wrt wbt,

    “Anak lelaki diaqiqahkan dengan dua ekor kambing dan anak perempuan diaqiqahkan dengan seekor kambing.” Hadis riwayat Ahmad & Tirmidzi.
    Dalam sebuah hadis lain Rasulullah bersabda;
    “Rasulullah S.A.W telah memerintahkan kepada kami untuk mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor kambing dan anak perempuan dengan satu ekor kambing.” Hadis riwayat Ibn Abi Syaiban.
    Hadis di atas secara keseluruhannya menunjukkan dua perkara;
    Pertama; baik anak lelaki mahupun perempuan, sama-sama disyariatkan supaya dilaksanakan aqiqah.
    Kedua; perbezaan bahawa anak lelaki dengan dua ekor kambing sedangkan anak perempuan dengan satu ekor kambing.Jadi ternakan yang lebih afdal bagi pelaksanaan aqiqah ialah kambing.

    Anak lelaki sebaik-baiknya diaqiqahkan dengan 2 ekor kambing, akan tetapi seekor kambing sudah memadai bagi tujuan menunaikan tuntutan ibadah aqiqah tersebut daripada tidak dilaksanakan langsung bagi anak tersebut. Laksanakanlah aqiqah tersebut mengikut kemampuan masing-masing. Ini kerana Rasulullah S.A.W. sendiri melaksanakan aqiqah untuk cucu baginda dengan seekor kambing sahaja.

    Dalam sebuah hadis diriwayatkan;
    “Bahawa Rasulullah S.A.W telah mengaqiqahkan Hassan dan Hussain dengan satu ekor biri-biri.” Hadis riwayat Abu Daud.
    Wallahuaklam

    Ustz Norwariza Mohd Hed
    Ketua Urus Setia
    Program Korban Eidhul Adha & Aqiqah di Kemboja

  • Norlina Aripin says:

    Assalamualaikum…

    Ustazah…Saya ingin bertanya..
    Saya telah menjalanksn ibadat akikah untuk anak saya dengan menyembelih seekor Lembu ( 7 bahagian – 2 anak lelaki dan 3 anak perempuan…)tetapi sebahagian daripada daging akikah tersebut telah disedekahkan mentah kepada balu-balu dan orang miskin…. adakah ia akan mengurangkan pahala iabadat tersebut….ingin tahun….

  • Mohd Zainal says:

    Adakah ada akad atau lafaz2 yg khusus kepada si pemyembelih binatang aqiqah bagi menyatakan tujuan kita nak aqiqah?
    bagaimana pula saya nak aqiqahkan anak perempuan saya yang sudah baligh, perlukan saya sedekahkan kepadanya dulu lantas menyerahkan pula kepada si nyembelih?

    mohon di perjelaskan, terima kasih.

  • siti says:

    assalamualaikum..
    saya ingin bertanya..bolehkah satu ekor lembu, kita niatkan untuk korban dan aqiqah sekali?

  • nor jusrina says:

    Assalamualaikum wrt wbt,
    saya mempunyai 2 org anak. yg sulung-lelaki pernah dibuat seekor saja kambing bagi tujuan akikah, manakala yg kedua-perempuan belum buat akikah.

    soalannya,
    1.perlukah saya membuat akikah bagi membayar hutang 1 ekor kambing utk anak lelaki saya yg telah berumur 16tahun
    2.perlukah saya membuat akikah untuk anak perempuan yg masih belum diakikah lagi – umur 14tahun

    mohon penjelasan dr pihak Ustazah.

  • admin says:

    Waalaikum salam wrt wbt

    Untuk pengetahuan, memang satu ekor lembu boleh diniatkan untuk korban dan aqiqah sekali.
    Tetapi jika penyertaan dibuat melalui pihak kami, korban & aqiqah diasingkan untuk memudahkan pengurusan yang mana korban hanya perlu diagihkan dagingnya manakala aqiqah perlu dilaksanakan jamuannya.

    Wassalam

    Ustz Norwariza Mohd Hed
    Ketua Urus Setia
    Program Korban Eidhul Adha & Aqiqah di Kemboja

  • Qamariah says:

    Assalamualaikum wrt wbt

    Kami suami isteri bercadang menaqiqahkan anak lelaki. Kebetulan pada tahun ini kami akan menjalankan ibadah qurban dg berkongsi menyembelih seekor lembu dg ahli keluarga yg lain.
    Soalan saya mana yg lebih afdhal, memasukkan 2 bahagian lembu itu utk tujuan aqiqah anak saya atau menyembelih seekor kambing lain khas utk menaqiqahkannya. Sebagai pengetahuan usatazah kos utk 2 bhg lembu dg seekor kambing adalah lebih kurang sama. Terima kasih.

  • aida says:

    salam. bolehkah lembu yang mempunyai sedikit kecacatan telinga dibuat aqiqah/korban.

  • kip says:

    bolehkah seorang abg mengaqiqahkan kambing utk anak kepada adik perempuannya?

  • Iwan says:

    Assalamualaikum Ustazah,
    Saya bercadang ingin melaksanakan Aqiqah dan Qurban sekali gus dgn membeli seekor lembu pada hari raya qurban ini,seperti yg saya tahu,Aqiqah dan Qurban boleh dijalankan sekali gus dgn seekor lembu,tapi yg memusykilkan saya ialah,bagaimana pula dgn niatnya?
    Ada orang memberitahu saya bahawa,lagi afdal jikalau saya buat qurban terus dan tidak payah aqiqah kalu berkemampuan. Saya berniat utk melaksanakan aqiqah utk 3 org anak saya (1 orang lelaki + 2 perempuan).
    Dan bagaimana kalu saya memasukkan aqiqah utk anak adik ipar saya memandangkan dia pun baru mendapat cahaya mata.
    Saya harap ustazah dapat memberi jawapan kepada soalan saya dgn segera.
    Sekian terima kasih.

  • salasiah says:

    Salam buat ustazah,
    Saya ingin bertanya bagi pihak kawan saya. Beliau mempunyai anak lelaki berumur 11 tahun belum baligh dan belum membuat aqiqah lagi. Persoalannya,boleh tak beliau terus membuat qurban tanpa membuat aqiqah terlebih dahulu. Minta penjelasan ustazah.Terima kasih

  • nazifa jamaludin says:

    salam ustazah..
    ada ustaz menyatakan bahawa kita sepatutnya mewakilkan untuk membeli dan sembelih..baru terhasilnya korban yang sah tetapi dalam borang Korban Eidul Adha & Aqiqah di Kemboja..al-ameen serve Holdings SDN BHD tidak menyatakan sedemikian..
    apa pendapat ustazah??

  • admin says:

    Assalamualaikum wrt wbt

    Semoga niat saudari melaksanakan ibadah korban itu mendapat kerahmatan Allah SWT.

    Ketelitian alim ulama’ dalam hal melaksanakan sesuatu ibadah itu sememangnya sifat yang penting bagi kesempurnaan sesuatu ibadah itu. Dalam hal ini hikmah dalam sesuatu ibadah itu menuntut kita dapat meletakkan kepentingan hukum serta proses melaksanakan hukum tersebut.

    Ibadah korban misalnya, yang terpenting ialah memahami hukumnya. Dalam mazhab Shafie telah ditetapkan hukumnya adalah sunat muakkad berbeza dengan misalnya mazhab Hanafi yang menetapkan hukum korban itu adalah wajib. Sungguhpun begitu adab dalam perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ ialah menghormati proses penentuan hukum tersebut. Maka tidaklah kita mendengar alim ulama’ mazhab Hanafi yang waras menghukum kita yang bermazhab Shafie sebagai berdosa kerana tidak menyatakan bahawa ibadah korban itu wajib.

    Banyak hujah dalam kitab-kitab ulama’ Shafieyyah yang mengharuskan kita mewakilkan pelaksanaan ibadah Korban dan juga Aqiqah itu. Sungguhpun sememangnya lebih afdal kita mencari, membeli, membela, menyembelih, melapah, mengagih dan dalam hal ibadah Aqiqah pula memasak dan seterusnya menjamu kaum muslimin. Maka perlu ada satu akad mewakilkan tanggungjawab-tanggungjawab ini kepada orang lain. Dalam zaman moden ini, orang lain ini mungkin sesuatu institusi seperti persatuan, jawatan kuasa surau/masjid ataupun syarikat.Lafaz akad tersebut boleh bermacam-macamlah. Yang terpenting terkandung di dalamnya faham bahawa segala sesuatu itu perlu dibuat agar sempurna ibadah Korban dan Aqiqah itu seperti lazim diketahui untuk ibadah tersebut.

    Tidak salah apa yang dinyatakan oleh Ustaz yang berkenaan lafaz wakalah tersebut dan juga tidak salah apa-apa seperti yang terdapat di dalam lafaz wakalah di dalam borang penyertaan Al-Ameen untuk ibadah Korban dan Aqiqah tersebut. Betapa indahnya Islam ini jika kita dapat menghormati perbezaan yang sememangnya dibenarkan oleh syarak dalam sesuatu ibadah.

    Sekian, semoga Allah merahmati segala usaha kita.

    Ustazah Norwariza Mohd Hed
    2-1 Tgkt 1, Jln 9/23A
    Medan Makmur Off Jln Usahawan
    53200 Setapak
    Kuala Lumpur
    Tel: 03-4143 4343 Faks:03-4149 1414

  • Ade says:

    Assalamualaikum..

    1.Saya tidak pasti sama ada pernah atau belum buat AQIQAH utk anak saya yang sekarang ni berumur 4 tahun. Jika saya bercadang untuk membuat lagi sekali boleh atau tidak?

    2.Boleh tak pembayaran di buat di pejabat AL-AMEEN SERVE HOLDINGS SDN. Saya tidak percaya pembayaran melalui internet

  • admin says:

    Waalaikum salam wrt wbt

    Sekiranya saudara ragu-ragu samada pernah atau tidak membuat aqiqah untuk anak saudara, saudara boleh melaksanakan aqiqah tersebut sekali lagi.

    Pengisian borang penyertaan dan juga pembayaran bagi penyertaan ibadah aqiqah boleh dibuat secara terus dengan datang ke pejabat kami yang beralamat di 2-1 Tgkt 1 Jln 9/23A Medan Makmur Off Jln Usahawan 53200 Setapak, KL.

    Wassalam

    Ustazah Norwariza Mohd Hed
    Ketua Urus Setia
    Program Korban Eidhul Adha & Aqiqah Di Kemboja

  • Fikri Yusuf says:

    Salam..Ustazah,

    saya ingin tahu sekiranya menyertai program Aqiqah ini pada bulan march, adakah ia akan terus dilakukan atau dikumpulkan sehingga datang bulan Ramadhan dan Zulhijjah baru dilaksanakan ibadah aqiqah?

    Terima kasih

  • admin says:

    Assalamualaikum wrt wbt

    Terima kasih kerana berminat untuk menyertai program Korban Eidul Adha & Aqiqah di Kemboja anjuran kami. Untuk pengetahuan saudara buat masa ini penyertaan aqiqah yang diterima sehingga 5 April 2011, pelaksanaannya akan disempurnakan sempena majlis perasmian masjid Kampung Spieu, Kg Cham yang akan diadakan pada 10 April 2011 nanti.

    Sebenarnya pelaksanaan aqiqah akan dilaksanakan terus tanpa perlu dikumpul untuk dilaksanakan samaada bulan Ramadhan atau Hari raya Eidul Adha. Cuma apabila jika ada program-program tertentu yang memerlukan banyak ternakan maka penyertaan aqiqah akan dikumpulkan. Pihak peserta akan dimaklumkan mengenai hal ini supaya peserta tidak akan tertunggu-tunggu samada sudah dilaksanakan atau belum penyertaan mereka.

    Sebarang maklumat lanjut sila hubungi urus setia di talian 03-4143 4343.

    Sekian, terima kasih

    Ustazah Norwariza Mohd Hed
    Ketua Urus Setia
    Program Korban Eidhul Adha & Aqiqah di Kemboja
    2-1 Tgkt 1 Jln 9/23A
    Medan Makmur Off Jln Usahawan
    53200 Setapak, KL
    Tel: 03-4143 4343 Faks: 03-4149 1414 Emel: korbanaqiqah@alameenserve.com

  • zarina says:

    Salam..Ustazah,

    Saya ada kemusykilan iaitu betulkah ada pendapat mengatakan sekiranya si ayah kepada anak belum laksanakan aqiqah maka tidak boleh dibuat aqiqah untuk anak yang baru dilahirkan? Saya berhajat untuk ber aqiqah untuk anak perempuan (sulung) saya yang berumur 7 bulan sekarang.

    Terima kasih.

  • zakaria ahmad says:

    salam. saya nak tau .untuk buat qurban adakah perlu dibuat aqiqah dahulu untuk anak anak…

  • admin says:

    Salam,
    Jika anak-anak tuan belum diaqiqahkan lagi, lebih baik tuan mendahulukan ibadah aqiqah untuk mereka dan kemudia baru laksanakan korban.

  • admin says:

    Salam,

    Maaf kerana lambat reply.. Aqiqah untuk anak lelaki afdhalnya 2bhg lembu atau 2 ekor kambing. Tetapi kita boleh buat aqiqah dengan 1bhg dahulu (jika kita tak mampu melaksanakan kedua-duanya serentak) kemudian apabila kita mampu untuk melaksanakan 1bhg lagi untuk mencukupkannya..Wallahuaalam..

  • admin says:

    Salam,
    Aqiqah merupakan suatu bentuk ibadah apabila seseorang itu dikurniakan anak oleh Allah S.W.T. Maka ia dituntut ke atas setiap ibu bapa yang dikurniakan anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T. Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. bersabda:
    “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W menuntut untuk dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diaqiqahkannya.” Hadis Riwayat Tirmidzi.
    Ini bermakna si ayah bertanggungjawap untuk mengaqiqahkan anaknya yang baru lahir. Manakala, untuk diri si ayah adalah tanggungjawap bapanya. Sekiranya si ayah melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri dan bersama-sama dengan anak yang baru lahir, tidaklah menjadi masalah. Wallahuaklam

  • Aishah says:

    Assalam ustazah,

    Saya ingin melakukan ibadah aqiqah utk 3 org anak saya berumur 10, 6 dan 1 tahun lebih tetapi tidak serentak. Siapa yg harus saya dahulukan…si abang atau adik yg kecil? Terima kasih.

Leave a Reply

Video Korban Aqiqah
Koleksi Video Korban 1433H Di Kemboja:
Video 1
Video 2
Sertai Sekarang!
Saya berminat untuk menyertai

Penyertaan Melalui Pos/Faks :
Borang Penyertaan Korban
Borang Penyertaan Aqiqah
Borang Penyertaan Wakaf Perigi
Tarikh Tutup Ibadah Korban 1433H : 5 Oct 2014
Ibadah Aqiqah: Dibuka sepanjang tahun

Nama Akaun Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd :
BIMB (Jln Tun Razak)
No. Akaun : 14032010015955
MAYBANK (Tmn Setiawangsa KL)
No. Akaun : 562188100158
Waktu Solat
Kuala Lumpur, Malaysia
25 April 2014

Subuh 5:47am
Syuruk 7:05am
Zohor1:14pm
Asar4:29pm
Maghrib7:20pm
Isyak8:31pm

Lihat Lokasi Lain
Pengurusan Program
AL-AMEEN SERVE HOLDINGS SDN. BHD. (378533T) AJL 931362
2-1, Tingkat 1, Jalan 9/23A, Medan Makmur off Jln Usahawan, 53200 Setapak, Kuala Lumpur.
Malaysia
Tel:03-4143 4343
Faks:03-4149 1414
Email: korbanaqiqah@alameenserve.com

Peta ke Pejabat
Carta Alir Pengurusan
Urus Setia Program
Latarbelakang Syarikat
Surat-surat Sokongan & Kelulusan
Ingin Bertanya?
Ibadah Aqiqah

Aqiqah menurut bahasa ertinya "rambut yang tumbuh di atas kepala bayi yang dibawanya waktu lahir." Demikian pendapat 'Ubaid, Ashmu'i dan Zamakhsyari.

Lagi...
Ibadah Korban

Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah. Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke 2 hijrah bersamaan dengan perintah solat Eidul Adha dan zakat.

Lagi...
Menyambut Cahaya Mata

Baginda s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memperolehi kelahiran cahayamata (anak), maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan diiqamah di telinga kiri, nescaya terlepaslah dari angin tiupan syaitan.” - Maksud Hadis Riwayat al-Baihaqi

Lagi...
Soal Jawab K&A

Diselenggarakan oleh :
Ustazah Norwariza Mohd Hed
B.A (Hons) Syariah Islamiah, Al-Azhar, Mesir


Siapakah yang dituntut oleh Islam untuk melaksanakan aqiqah?
J: Aqiqah merupakan suatu bentuk ibadah apabila seseorang itu dikurniakan anak oleh Allah S.W.T. Maka ia dituntut ke atas setiap ibu bapa...

Lagi...

Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban?
J: Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah...

Lagi...
Testimoni
"Pihak kami bersetuju untuk terus bekerjasama dengan Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd. untuk menjayakan program Korban Eidul Adha & Aqiqah di Kemboja yang akan masuk ke tahun 16"
YB Haji Zakaryya Adam, Ketua Urus Setia Program Korban Eidul Adha & Aqiqah di Kemboja.

Lagi..