Anda pelawat ke

Soal Jawab Ibadah Korban

norwarizaDiselenggarakan oleh :
Ustazah Norwariza Mohd Hed
B.A (Hons) Syariah Islamiah, Al-Azhar, Mesir

SOALAN

Ibadah korban dalam Islam
1: Apakah hukum melakukan ibadah korban?
2: Apakah dalil yang mensyariatkan ibadah korban?
3: Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban?
4: Apakah hikmah korban?
5: Adakah ibadah korban dilakukan pada zaman Nabi-nabi yang terdahulu dan bagaimana ia dilaksanakan?
6: Bolehkah penyembelihan haiwan korban diniatkan sekali dengan aqiqah?
7: Siapakah yang dituntut untuk melaksanakan korban?
8: Apakah jenis korban yang dilarang oleh Islam?

Jenis-jenis ibadah korban
1: Apakah jenis-jenis ibadah korban?
2: Apakah yang dimaksudkan dengan korban nazar?
3: Apakah yang dinamakan korban wajib?

Waktu korban dan jenis haiwan
1: Bilakah waktu yang dibolehkan untuk menyembelih haiwan korban?
2: Apakah jenis haiwan yang lebih utama disembelih sebagai korban, jantan atau betina?
3: Bolehkah beberapa orang berkongsi seekor lembu untuk ibadah korban?
4: Bolehkah seseorang berkorban dengan sekilo daging?
5: Bolehkah bersedekah sejumlah wang untuk mengantikan penyembelihan korban?
6: Manakah yang lebih baik, korban dengan seekor kambing atau satu bahagian lembu?
7: Bolehkah seekor kambing dikongsi untuk seisi keluarga bagi ibadah korban?
8: Apakah hukumnya berkongsi wang dengan seorang kawan untuk membeli seekor kambing bagi tujuan korban?
9: Bolehkah seseorang menyembelih seekor burung untuk korban kerana tiada kemampuan menyembelih lembu atau kambing?
10: Adakah seseorang yang sedang bermusafir dituntut melaksanakan korban?

Korban untuk ahli keluarga
1: Bolehkah korban dilaksanakan bagi anak saya yang belum diaqiqahkan?
2: Apa yang perlu didahulukan untuk seorang anak kecil, korban atau aqiqah?
3: Bolehkah niatkan korban bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia?
4: Bolehkah seseorang itu berniat untuk melaksanakan korban untuk anaknya yang telah meninggal dunia?
5: Bolehkah seseorang melaksanakan korban bagi orang lain tanpa pengetahuannya?

Mewakilkan pihak lain melaksanakan korban
1: Adakah seseorang patut menyembelih sendiri haiwan korbannya?
2: Bolehkah seseorang mewakilkan pihak tertentu melaksanakan korban bagi pihaknya di tempat lain?
3: Bolehkah seseorang mewakilkan orang lain menyembelih haiwan korban bagi pihaknya?

Memakan daging korban sendiri
1: Bolehkah seseorang itu memakan daging korban nazarnya?
2: Bolehkah kita memakan daging haiwan korban kita sendiri?
3: Bolehkah kita menjual daging korban?
4: Bolehkah kita menjual kulit haiwan korban?
5: Ada pandangan mengatakan bahawa kita mesti makan sebahagian daging korban yang kita sembelih, bolehkah kita sedekahkan semua daging sembelihan korban?

Mengagihkan daging korban
1: Bolehkah diberikan sebahagian daging korban atau kulit haiwan korban sebagai upah kepada tukang sembelih?
2: Bagaimana cara yang paling baik mengagihkan daging korban?
3: Bolehkah orang kafir diberikan daging korban?
4: Apakah hukum menjemput orang kafir untuk makan daging korban yang telah dimasak?
5: Bolehkah seseorang itu mengambil 1 atau 2 bahagian dalam seekor lembu korban dengan niat mendapatkan daging sahaja?


SOALAN & JAWAPAN

Ibadah korban dalam Islam

1. Apakah hukum melakukan ibadah korban?
J: Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Korban ke atas umat Islam yang mampu ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.
Allah S.W.T berfirman;
“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. – Surah al-Kautsar: ayat 2
Mengikut tafsiran ulama maksud solat atau sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.
Wallahuaklam

Top

2: Apakah dalil yang mensyariatkan ibadah korban?
J: Dalil yang mensyariatkan ibadah korban ialah firman Allah S.W.T.;
“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. – Surah al-Kautsar, ayat 2. Maksud solat ataupun sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban. Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut:
“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”. Wallahuaklam

Top

3: Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban?
J: Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim. Wallahuaklam

Top

4: Apakah hikmah korban?
J: Hikmah sebenar sesuatu ibadah hanya Allah S.W.T. sahaja yang tahu. Walau bagaimanapun ibadah korban yang menjadi amalan umat Islam sekarang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan peristiwa korban di antara Nabi Ibrahim A.S. dengan anaknya Nabi Ismail A.S. Maka dengan melihat kepada peristiwa tersebut beberapa hikmah dapat disimpulkan;
1. Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.
2. Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah S.W.T kurniakan kepadanya.
3. Berkongsi merasai nikmat Allah S.W.T dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.
4. Membudayakan dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban.
Wallahuaklam

Top

5: Adakah ibadah korban dilakukan pada zaman Nabi-nabi yang terdahulu dan bagaimana ia dilaksanakan?
J: Mengikut riwayat yang boleh kita perolehi amalan ibadah korban telah dilaksanakan dari zaman Nabi Adam A.S lagi sehingga zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Secara ringkasnya sejarah perlaksanaannya adalah seperti berikut;

Pada zaman Nabi Adam A.S, peristiwa korban Habil dan Qabil menunjukkan betapa korban memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hidup manusia. Kisah mereka telah dinukilkan di dalam al-Quran surah al-Maidah, ayat 27.
Maksud Ayat: “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: ‘Aku pasti membunuhmu?’ Habil berkata: ‘Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa’”.

Pada zaman Nabi Nuh A.S pula, setelah peristiwa taufan berlaku, Nabi Nuh menyediakan satu tempat khas untuk korban. Ada riwayat yang mengatakan bahawa haiwan korban tersebut dibakar.

Manakala pada zaman Nabi Ibrahim A.S, korban bermula dengan roti dan sebagainya, kemudian anak sapi, kambing dan biri-biri. Peristiwa penyembelihan anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail ialah ujian pengorbanan yang paling getir dihadapi oleh Nabi Ibrahim A.S. Kisah ini telah Allah rakamkan dalam al-Quran surah Ash-Shaffat, ayat 103-107.

Pada zaman Nabi Musa A.S, cara korban ialah dengan membahagikan binatang yang disediakan untuk korban kepada 2 bahagian, sebahagian dilepaskan dan sebahagian lagi disembelih.

Budaya dan amalan berkorban ini berterusan sehingga ke zaman bangsa Yunani dan Rumani, pada umumnya mereka membahagi-bahagikan daging korban kepada orang yang hadir. Semasa upacara penyembelihan, pendeta mereka memercikkan madu dan air, kemudian madu diganti dengan air mawar. Adat ini terdapat sampai sekarang. Di samping bangsa Yunani, korban dengan melakukan penyembelihan terhadap manusia juga berlaku, ini dilakukan oleh bangsa Finiki, Parsi, Rom dan bangsa Mesir kuno. Wallahuaklam

Top

6: Bolehkah penyembelihan haiwan korban diniatkan sekali dengan aqiqah?
J: Pada hari raya korban kita disunatkan menyembelih haiwan korban, begitu juga pada hari ketujuh kelahiran seorang anak, kita dituntut melaksanakan aqiqah untuknya, jadi apabila bertemu hari raya korban bertepatan dengan hari ketujuh kelahiran anak, maka mengikut pandangan ulama mazhab Hanbali, kita boleh gabungkan niatkan perlaksanaan korban tersebut dengan niat untuk aqiqah anak, seperti mana jika bertemu hari Jumaat dengan Hari Raya, maka saudara boleh niatkan mandi sunat keduanya dengan sekali mandi sahaja. Wallahuaklam

Top

7: Siapakah yang dituntut untuk melaksanakan korban?
J: Menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Korban dianjurkan ke atas seluruh umat Islam, akan tetapi tuntutan sebenar ialah kepada yang mampu, sehingga Rasulullah S.A.W memberi amaran dalam beberapa buah hadis kepada mereka yang tidak menunaikan ibadah korban, antara hadis tersebut ialah;
Maksud hadis, “Sesiapa yang mempunyai kelapangan (mampu), tetapi tidak berkorban, janganlah ia mendekati tempat solat kami.” Wallahuaklam

Top

8: Apakah jenis korban yang dilarang oleh Islam?
J: Korban yang diamalkan oleh seluruh umat Islam pada setiap tahun diniatkan hanya kerana Allah S.W.T, dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T di samping mendapat ganjaran lain yang telah Allah S.W.T janjikan. Oleh itu, mana-mana korban atau penyembelihan yang diniatkan kepada selain Allah S.W.T, seperti korban yang dilakukan untuk memuja sesuatu, atau untuk tujuan ilmu hitam, memuja syaitan dan sebagainya, serta tidak bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan ganjaran yang disediakan, maka ia adalah dilarang oleh Islam. Wallahuaklam

Top

Jenis-jenis ibadah korban

1: Apakah jenis-jenis ibadah korban?
J: 1. Korban sunat, iaitu menyembelih binatang ternakan yang tertentu dengan niat taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah S.W.T. pada Hari Raya Eidhul Adha atau Hari Raya Haji.

2. Korban nazar, apabila seseorang bernazar untuk menyembelih korban, maka wajiblah atasnya menunaikan nazarnya itu. Wallahuaklam

Top

2: Apakah yang dimaksudkan dengan korban nazar?
J: Korban nazar ialah apabila seseorang itu mengatakan bahawa jika dia mendapat apa yang dihajatinya dia akan menyembelih haiwan korban, maka wajiblah ke atasnya menunaikan nazarnya itu. Bahkan Imam Nawawi menyatakan bahawa apabila telah terlewat hari yang ditentukan untuk penyembelihan korban dan ternyata saudara terlupa untuk menyembelih korban yang dinazarkan itu, maka wajiblah bagi orang yang bernazar tadi menyembelihnya ketika dia teringat, walaupun telah berlalu waktunya. Wallahuaklam

Top

3: Apakah yang dinamakan korban wajib?
J: Korban wajib ialah apabila seseorang membeli seekor kambing atau lembu atau unta dengan mengatakan bahawa ‘haiwan ini adalah untuk sembelihan korban’, atau ‘aku beli haiwan ini untuk korban’, maka adalah wajib beliau menyembelih haiwan tersebut sebagai korban pada hari raya korban.
Wallahuaklam

Top

Waktu korban dan jenis haiwan

1: Bilakah waktu yang dibolehkan untuk menyembelih haiwan korban?
J: Waktu yang dibolehkan untuk menyembelih haiwan korban ialah dari masa khatib turun dari atas mimbar selepas selesai berkhutbah solat Eidhul Adha, sehingga terbenam matahari tanggal ke 13 Zulhijjah. Maka waktu menyembelih haiwan korban ada 4 hari. Sesiapa yang menyembelih korban sebelum atau selepas waktu itu, tidak sah korbannya. Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W;
yang bermaksud, “Yang mula-mula kami lakukan pada hari kami ini (Hari Raya Haji) ialah kami solat kemudian pulang, lalu kami menyembelih. Sesiapa berbuat begitu maka dia telah mengikut sunnah kami. Sebaliknya sesiapa menyembelih sebelum itu, maka sesungguhnya itulah daging yang disembelih untuk keluarganya, tidak sedikitpun dikira sebagai korban.” Wallahuaklam

Top

2: Apakah jenis haiwan yang lebih utama disembelih sebagai korban, jantan atau betina?
J: Para ulama berbeza pendapat tentang menentukan haiwan jantan atau betina yang lebih baik dijadikan korban Mengikut pendapat dalam mazhab Imam Syafie, haiwan jantan lebih baik dari haiwan betina. Kesimpulan yang boleh kita berikan ialah kedua-dua jantina sama ada jantan atau betina boleh disembelih sebagai haiwan korban. Wallahuaklam

Top

3: Bolehkah beberapa orang berkongsi seekor lembu untuk ibadah korban?
J: Boleh, kita dibenarkan berkongsi sehingga 7 orang atau 7 bahagian bagi seekor lembu atau unta, ini bertepatan dengan sebuah hadis Rasulullah S.A.W yang berbunyi;
“Pada musim haji, Rasulullah S.A.W telah menyuruh kami berkongsi 7 orang pada seekor unta dan seekor lembu.” Hadis riwayat Muslim.
Dalam sebuah hadis lain dari al-Barqani;
“Rasulullah S.A.W telah bersabda kepada kami: “Berkongsilah kamu pada seekor unta dan lembu, untuk 7 orang seekor.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Wallahuaklam.

Top

4: Bolehkah berkorban dengan sekilo daging?
J: Untuk menjawab soalan tersebut, mari sama-sama kita renungi kisah Abdullah Ibnu Abbas R.A. Ayahnya (Abbas) yang merupakan paman Rasulullah S.A.W. adalah seorang jutawan. Namun Ibnu Abbas tidak berminat mengikut jejak ayahnya. Ketika Idhul Adha tiba, Ibnu Abbas hanya membeli daging untuk Korban kerana tidak memiliki persediaan wang untuk membeli haiwan korban. Melihat perkara tersebut para sahabat bertanya:
“Apa yang engkau bawa wahai anak paman Rasulullah? Tanpa malu beliau menjawab: Inilah korban Ibnu Abbas hamba Allah yang miskin.”
Wallahuaklam

Top

5: Bolehkah bersedekah sejumlah wang untuk mengantikan penyembelihan korban?
J: Terlaksananya korban adalah dengan berlakunya penyembelihan haiwan tertentu dan mengalirnya darah haiwan tersebut. Adapun perkara lain, seperti sunat seseorang itu memakan sebahagian daging korbannya, atau menyimpan sebahagian, atau bersedekah dengan sebahagiannya lagi adalah amalan sampingan dalam ibadah korban. Maka kita dapati bahawa bersedekah dengan sejumlah wang ataupun sejumlah daging yang dibeli bagi mengantikan sembelihan haiwan korban yang telah ditentukan adalah tidak menepati tuntutan ibadah korban itu sendiri, berbeza dengan zakat fitrah, ia bertujuan mengurangkan bebanan orang-orang miskin. Wallahuaklam

Top

6: Manakah yang lebih baik, korban dengan seekor kambing atau satu bahagian lembu?
J: Dalam menentukan haiwan yang mana lebih baik untuk dijadikan sembelihan korban, imam-imam mazhab berbeza pendapat, ini kerana banyak sumber dari hadis yang memberi isyarat akan kelebihan setiap haiwan yang dibolehkan untuk dijadikan sembelihan korban. Secara umumnya semua bersetuju manfaat penyembelihan korban tersebut akan lebih bererti jika dapat dinikmati oleh lebih ramai orang, maka kesimpulannya, haiwan mana yang lebih banyak dagingnya boleh dianggap lebih afdal daripada haiwan yang lain tanpa kita menentukan jenisnya. Wallahuaklam

Top

7: Bolehkah seekor kambing dikongsi untuk seisi keluarga bagi ibadah korban?
J: Berkongsi seekor kambing bagi mewakili korban satu keluarga adalah menjadi amalan Rasulullah S.A.W dan para sahabat, dalam sebuah hadis Nabi S.A.W.;
“Pada zaman Rasulullah S.A.W, orang berkorban dengan seekor domba untuknya dan untuk keluarga seisi rumahnya. Mereka memakan dan mereka berikan orang lain sampai manusia merasa senang, sehingga mereka menjadi seperti yang engkau lihat.” Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi.
Ulama’ besar Asy Syaukani dalam kitabnya Al Raudlah 2:210, menyatakan :
“Adanya perintah berkorban, menunjukkan kepada wajibnya. Perintah itu ditujukan atas tuan rumah. Udhiyah (korban) itu, jika dikatakan wajib, maka bagi isi satu rumah diwajibkan atas kepala keluarga, atau atas orang yang mengepalainya, dan bagi orang yang tidak berkeluarga, atau belum mempunyai rumah tangga yang ia urusi, maka atas dirinya.” Wallahuaklam

Top

8: Apakah hukumnya berkongsi wang dengan seorang kawan untuk membeli seekor kambing bagi tujuan korban?
J: Islam telah meletakkan syarat bahawa seekor kambing boleh dijadikan haiwan sembelihan korban bagi satu kepala atau seorang sahaja, manakala mereka yang telah membeli seekor kambing bagi tujuan korban dengan berkongsi wang, maka mereka hanya mendapat pahala perkongsian selagi mana penyembelihan belum berlaku kerana niat yang baik membeli seekor kambing bagi tujuan korban, akan tetapi selepas penyembelihan haiwan tersebut, pahala itu hanya untuk orang yang di atas namanya haiwan korban itu disembelih. Wallahuaklam

Top

9: Bolehkah seseorang menyembelih seekor burung untuk korban kerana tiada kemampuan menyembelih lembu atau kambing?
J: Menyembelih haiwan korban tertentu seperti yang telah ditentukan oleh syarak adalah wajib, kita tidak diberi pilihan bagi menyembelih haiwan lain, ia bertujuan mendapatkan ganjaran yang terbaik yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. Walau bagaimanapun, apabila kita tiada kemampuan, maka kita disunatkan menyembelih sesuatu seperti ayam, burung, itik dan sebagainya bagi meraikan hari raya korban yang disambut. Wallahuaklam

Top

10: Adakah seseorang yang sedang bermusafir dituntut melaksanakan korban?
J: Menurut pendapat semua mazhab, ibadah korban juga dituntut ke atas orang yang bermusafir walau di mana mereka berada, ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W yang mana Baginda telah menyembelih seekor lembu korban di Mina untuk isteri-isterinya. Hadis Riwayat Bukhari & Muslim.
Bagaimanapun, mazhab Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa orang musafir tidak dituntut berkorban kerana akan membebankannya seperti mana mereka juga tidak dituntut bersolat Jumaat ketika bermusafir. Wallahuaklam

Top

Korban untuk ahli keluarga

1: Bolehkah korban dilaksanakan bagi anak saya yang belum diaqiqahkan?
J: Korban bagi anak kecil adalah atas tanggungjawab ibu bapanya seperti juga aqiqah, khususnya ibu bapa yang mempunyai kelapangan dan kemampuan. Jika seseorang itu berniat ingin membuat korban untuknya maka ia tidak menjadi masalah, akan tetapi jika didahulukan aqiqah adalah lebih baik, kerana aqiqah adalah suatu tuntutan kepada ibu bapa terhadap anak tersebut, sedangkan korban pula adalah suatu sunnah sahaja. Wallahuaklam

Top

2: Apa yang perlu didahulukan untuk seorang anak kecil, korban atau aqiqah?
J: Bagi seorang anak kecil maka sudah tentu aqiqah perlu didahulukan daripada korban. Sebabnya ialah, pertama; kerana ibadah aqiqah merupakan tanggungjawab ibu bapanya yang perlu dilaksanakan seawal mungkin, kedua ; korban merupakan pengorbanan individu yang dituntut bagi mendapatkan ganjaran yang besar di sisi Allah S.W.T., sedangkan tuntutan tersebut belum terletak di atas diri anak itu kerana ia masih kecil dan tiada kemampuan sendiri.

Walau bagaimanapun jika bertemu hari aqiqah anak saudara dengan hari raya korban, maka dibolehkan berniat sembelihan tersebut untuk aqiqah dan korban bagi anak tersebut. Wallahuaklam

Top

3: Bolehkah niatkan korban bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia?
J: Orang yang telah meninggal dunia amat memerlukan kepada orang yang masih hidup, khususnya dari kalangan ahli keluarga bagi meneruskan amal kebajikan yang boleh menambah bekalan amal baik sebagai bekalan di akhirat nanti. Seperti amalan sedekah lainnya yang sunat dilakukan demi menyampaikan pahala kebajikan amalan tersebut kepada si mati, maka berkorban bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia boleh dilaksanakan mengikut pandangan mazhab Imam Hanafi dan Imam Hanbali. Berdoalah kepada Allah S.W.T supaya menerima korban tersebut dan memberikan pahala kebajikannya kepada kedua ibu bapa. Wallahuaklam

Top

4: Bolehkah seseorang itu berniat untuk melaksanakan korban untuk anaknya yang telah meninggal dunia?
J: Korban seperti yang kita ketahui adalah sebahagian daripada konsep bersedekah dalam mencari keredhaan dan mengharapkan pahala daripada Allah S.W.T. Seperti amalan sedekah lainnya yang sunnah dilakukan demi menyampaikan pahala kebajikan amalan tersebut kepada si mati, mengikut pandangan mazhab Imam Hanafi dan Imam Hanbali terpulanglah kepada warisnya untuk melakukan amal kebajikan tersebut untuk anaknya, dan berdoa kepada Allah S.W.T supaya menerima korban tersebut dan memberikan pahala kepada anaknya. Wallahuaklam

Top

5: Bolehkah seseorang melaksanakan korban bagi orang lain tanpa pengetahuannya?
J: Melaksanakan korban memerlukan niat yang sengaja, dan disertai dengan rasa kepatuhan kepada Allah S.W.T. Seseorang yang berkorban perlu sedar yang ia sedang melaksanakan suatu tuntutan ibadah yang dinamakan korban. Manakala korban yang dilaksanakan oleh orang lain tanpa pengetahuan orang kedua, maka ia tidak memberikan kesempurnaan kepada perlaksanaan korban itu sendiri, oleh itu kita tidak boleh melaksanakan korban bagi orang lain melainkan dengan keizinannya, kecuali ahli keluarga. Wallahuaklam

Top

Mewakilkan pihak lain melaksanakan korban

1: Adakah seseorang patut menyembelih sendiri haiwan korbannya?
J: Adalah sunat bagi lelaki yang hendak berkorban itu menyembelih sendiri haiwan korban tersebut dengan tangannya, jika ia mampu. Jika ia tidak mampu, maka berwakillah kepada orang lain, kerana “Nabi S.A.W telah berkorban dengan 100 ekor unta, 63 ekor daripadanya Baginda sendiri menyembelihnya dan 37 ekor lagi diserahkannya kepada Saidina Ali bin Abi Talib untuk disembelihkan.” Hadis riwayat Ahmad dan Muslim. Wallahuaklam

Top

2: Bolehkah seseorang mewakilkan pihak tertentu melaksanakan korban bagi pihaknya di tempat lain?
J: Telah menjadi suatu amalan umat Islam di mana-mana bahawa mereka mewakilkan penyembelihan korban kepada pihak tertentu, sama ada pihak masjid, tukang sembelih atau syarikat tertentu seperti yang berlaku di Makkah al-Mukarramah pada musim Haji. Maka mewakilkan penyembelihan korban kepada pihak lain adalah suatu yang dibenarkan oleh agama bagi memudahkan amalan dan budaya tersebut diamalkan oleh umat Islam seluruhnya.

Dalam kitab I’anah ath-Thalibin: 2 / 381, Asy-Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi pernah ditanya:

“Sudah menjadi kebiasaan orang-orang negeri Jawi (Kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na’am (seperti lembu dan kambing) di Makkah untuk dijadikan aqiqah dan korban, dan penyembelihannya dilakukan di Makkah, sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi, maka adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak? Mohon fatwakan kepada kami.”

Jawapan Asy Syeikh : “Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah yang begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.”

Top

3: Bolehkah seseorang mewakilkan orang lain menyembelih haiwan korban bagi pihaknya?
J: Hukum asal penyembelihan binatang korban itu adalah sunat dilakukan sendiri oleh orang yang berkorban. Walau bagaimanapun orang yang tidak mampu melaksanakannya adalah lebih afdhal mewakilkan kepada orang lain untuk menyembelih binatang korbannya bagi pihak dirinya.

Dalam kitab Sabil al-Muhtadin : 214, “Kata Syeikh Muhammad bin Sulaiman: “Harus berwakil pada membeli na’am korban di negeri yang lain dan pada menyembelinya dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu. Maka iaitu zahir sama ada negeri Makkah atau lainnya… Akan datang kenyataannya dan sayugianya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini. Wallahuaklam”

Top

Memakan daging korban sendiri

1: Bolehkah seseorang itu memakan sedikit daripada daging korban nazarnya?
J: Jika korban yang dilakukan atas niat menunaikan nazar , maka daging korban tersebut tidak boleh dimakan oleh orang yang berkorban. Semua daging korban tersebut hendaklah disedekahkan kepada mereka yang berhak menerimanya. Wallahuaklam

Top

2: Bolehkah kita memakan daging haiwan korban kita sendiri?
J: Kita memang dibenarkan oleh agama untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban yang kita lakukan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda;
“Makanlah, buatlah jamuan untuk orang makan dan simpanlah sebahagian daging korban kamu.”
Mengikut pendapat ulama, kita dibolehkan memakan sepertiga daripada daging korban tersebut. Wallahuaklam

Top

3: Bolehkah kita menjual daging korban?
J: Hakikat dan tujuan korban ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T melalui ibadah korban dengan mengorbankan sesuatu untuk dirasai oleh orang lain, bukan mengorbankan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri. Jadi, menjual daging korban amat bertentangan dengan tujuan dan matlamat yang digariskan. Oleh itu, menjual daging haiwan korban adalah tidak dibolehkan. Kita hanya digalakkan memakan sebahagian daripada daging korban tersebut bagi mengambil keberkatan daripada ibadah korban tersebut. Wallahuaklam

Top

4: Bolehkah kita menjual kulit haiwan korban?
J: Menjual kulit haiwan korban adalah dilarang oleh agama, kerana ia bertentangan dengan matlamat dan tujuan sebenar korban itu dianjurkan, dan ia juga bertepatan dengan sebuah hadis Nabi S.A.W yang berbunyi;
“Sesiapa yang menjual kulit korbannya maka tidak ada korban baginya.” Hadis riwayat Hakim.
Walau bagaimanapun, menurut pendapat Imam Abu Hanifah, kulit haiwan korban boleh dijual dan harganya disedekahkan atau dibelikan sesuatu keperluan rumahtangga. Wallahuaklam

Top

5: Ada pandangan mengatakan bahawa kita mesti makan sebahagian daging korban yang kita sembelih, bolehkah kita sedekahkan semua daging sembelihan korban?
J: Memakan sebahagian daripada daging korban itu dibolehkan oleh agama untuk kita sama-sama merasa dan mendapat keberkatan dari ibadah tersebut, adapun jika seseorang ingin bersedekah dan memberikan semua daging korban tersebut kepada mereka yang layak menerimanya, maka ia amatlah baik sekali. Wallahuaklam

Top

Mengagihkan daging korban

1: Bolehkah diberikan sebahagian daging korban atau kulit haiwan korban sebagai upah kepada tukang sembelih?
J: Dalam hal ini Islam tidak membenarkan kita membayar upah kepada tukang sembelih haiwan korban dengan daging mahupun kulit haiwan korban tersebut. Maka seseorang perlu membayar upah tersebut daripada sumber lain yang dimiliki. Ini bertepatan dengan hadis Nabi S.A.W. dari Saidina Ali R.A.;
“Kami memberikan upah kepada orang yang menyembelih haiwan tersebut dari bahagian yang ada pada kami.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Wallahuaklam

Top

2: Bagaimana cara yang paling baik mengagihkan daging korban?
J: Bagi pengagihan daging korban, golongan yang paling diutamakan ialah fakir miskin daripada kalangan keluarga terdekat, kemudian fakir miskin dari kalangan jiran tetangga. Tidak boleh diberikan kepada fakir miskin yang tidak beragama Islam. Walau bagaimanapun kita disunatkan memakan hati haiwan korban tersebut, kerana menurut riwayat Al-Baihaqi, “Rasulullah S.A.W memakan hati korbannya.”
Dan Allah S.W.T juga menyuruh orang yang berkorban memakan sedikit daripadanya, sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Hajj, ayat 28;
Maksud ayat “Maka makanlah olehmu sebahagian daripadanya dan sebahagian lagi berikanlah untuk dimakan oleh orang-orang yang sengsara lagi fakir.”
Wallahuaklam

Top

3: Bolehkah orang kafir diberikan daging korban?
J: Matlamat dan tujuan kita dianjurkan berkorban adalah jelas, antara lain mensyukuri nikmat Allah S.W.T yang dikurniakan sepanjang tahun tersebut, dan memberikan orang lain sama-sama merasa nikmat Allah S.W.T, di samping merapatkan lagi ukhuwwah sesama umat. Oleh itu pemberian daging korban kepada orang yang bukan Islam tidak bercanggah dengan mana-mana tujuan korban itu dianjurkan, maka mengikut pandangan mazhab Hanbali adalah dibenarkan kita memberikan daging korban sunat sebagai hadiah kepada orang bukan Islam, tetapi daging korban wajib tidak boleh kita berikan kepada orang bukan Islam. Wallahuaklam

Top

4: Apakah hukum menjemput orang kafir untuk makan daging korban yang telah dimasak?
J: Seperti mana kita dibenarkan memberikan daging korban sunat kepada orang bukan Islam berdasarkan kepada pandangan mazhab Hanbali, maka menjemput mereka makan daging sembelihan korban sunat adalah dibolehkan asalkan ia mempunyai niat yang baik dan tidak bertentangan dengan tujuan dan matlamat murni korban itu sendiri, dan juga syaratnya ialah bukan daripada daging korban wajib. Wallahuaklam

Top

5: Bolehkah seseorang itu mengambil 1 atau 2 bahagian di dalam seekor lembu korban dengan niat ingin mendapat daging sahaja?
J: Ibadah korban hanya tercapai dengan berlakunya penyembelihan haiwan korban tertentu, pada hari-hari tertentu, dengan berlakunya tumpahan darah dari haiwan yang disembelih, maka terlaksanalah ibadah korban. Oleh itu, sembelihan mestilah berlaku dengan niat yang satu iaitu korban. Akan tetapi ada pendapat di dalam mazhab Syafie yang mengatakan bahawa berkongsi bahagian dalam seekor lembu korban dengan niat yang berbeza adalah dibenarkan, dan setiap orang mendapat hak masing-masing. Wallahuaklam

Top

Rujukan:

1. Al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’ – Khotib Syarbini
2. Fiqh Islami – Wahbah Az-Zuhaili
3. Fiqh As-Sunnah – Sayyid Sabiq
4. Sirajul Wahhaj ‘Ala Matnil Minhaj Lil Imam Nawawi.
5. Korban & Aqiqah – Haji Ahmad Fuad Said
6. Panduan Aqiqah Khatan & Korban – Muhammad Isa Selamat
7. Ibadat Korban, Hukum & Cara Pengendaliannya – Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.

25 Responses to “Soal Jawab Ibadah Korban”

  • Abdul Mulok Yahaya says:

    Salam,

    Saya ada seorang anak lelaki yang berumur 5 tahun. Apakah hukumnya jika saya membuat korban untuknya.

  • che mazlan says:

    Assalamualaikum wrt wbt

    Untuk pengetahuan saudara, sunat dituntut dilaksanakan terlebih dahulu aqiqah buat diri anak saudara sekiranya masih belum lagi disempurnakan kerana aqiqah tersebut adalah tanggungjawab kedua ibu bapa tersebut.

    Sekiranya aqiqah tersebut sudah ditunaikan, maka saudara boleh melaksanakan korban bagi diri anak tersebut yang belum lagi berkemampuan melaksanakan bagi dirinya sendiri.

    Wallahuaklam

    Ustz Norwariza Mohd Hed
    Ketua Urus Setia
    Program Korban Eidhul Adha & Aqiqah di Kemboja.

  • noorhayati says:

    Salam, Saya nak bertanya dalam membuat akikah adakah diberi keutamaan anak lelaki dahulu walaupun anak perempuan yg sulung belum buat lagi, anak perempuan 6 tahun, dua lagi 4 dan 3 tahun (lelaki). Kemampuan sekarang pun hanya boleh buat utk seekor kambing sahaja…Terima kasih.

  • admin says:

    Assalamualaikum wrt wbt

    Setakat ini tiada lagi pendapat yang merujuk khusus kepada mengatakan aqiqah perlu didahulukan untuk anak lelaki dahulu. Yang paling penting dan sunat yang memang dituntut adalah pelaksanaan aqiqah anak itu sebelum mencapai akil balighnya.

    Dahulukanlah anak Puan yang sulung itu. Yang dua orang lagi itu laksanakanlah aqiqahnya apabila berkemampuan di kemudian hari.

    Wallahuaklam

    Ustz Norwariza Mohd Hed
    Ketua Urus Setia
    Program Korban Eidhul Adha & Aqiqah di Kemboja

  • siti hajar says:

    salam,
    bagaimana kalau kita sebagai anak membuat korban atas nama ibu bapa yang masih hidup?

  • admin says:

    Assalamualaikum wrt wbt

    Melaksanakan korban memerlukan niat yang sengaja, dan disertai dengan rasa kepatuhan kepada Allah S.W.T. Seseorang yang berkorban perlu sedar yang ia sedang melaksanakan suatu tuntutan ibadah yang dinamakan korban. Manakala korban yang dilaksanakan oleh orang lain tanpa pengetahuan orang kedua, maka ia tidak memberikan kesempurnaan kepada perlaksanaan korban itu sendiri, oleh itu kita tidak boleh melaksanakan korban bagi orang lain melainkan dengan keizinannya, kecuali ahli keluarga. Wallahuaklam

    Ustz Norwariza Mohd Hed
    Ketua Urus Setia
    Program Korban Eidhul Adha & Aqiqah di Kemboja

  • Shafawati says:

    Adakah sah boleh seseorang ingin membeli seekor binatang kurban dgn wangnya sendiri kemudian menawarkan 7 bahagian untuk disertai oleh ahli keluarganya yang ingin menjalankan ibadah kurban tanpa meminta harga kos bagi sebahagian (1/7) binatang tersebut dgn niat ingin meringankan beban ahlinya. Contohnya harga binatang RM2000 maka sebahagian sepatutnya 2000/7 iaitu lebih kurang rm285 seorang? Bagaimana pula jika dia menerima berapa sahaja yang ahli keluarganya mampu membayar jika ingin membayar? Adakah sah kurban bagi ketujuh2 mereka itu?

  • ISHAK says:

    Pada tahun ni saya berniat untuk melakukan Ibadah Qurban, jadi saya dengan ikhlas hati untuk berkongsi dengan saudara kandung saya. Tapi saudara kandung saya ada yang kurang mampu untuk berkongsi Qurban, jadi soalan saya;

    Soalan 1; Bolehkah saya dahulukan bahagiannya (RM) kiranya dia tidak cukup wang membayar pada saya (berhutang dengan saya tapi saya tidak akan menganggap itu sebagai hutang).
    Soalan 2; Bolehkah saya membayar ke semua kos bahagiannya tanpa saudara kandung saya mengeluarkan wang, tapi saya tetap meletakkan bahagian itu atas namanya.

  • puan rosmah says:

    asalamulaikum,saya nak tanya kalau saya sekeluarga da buat korban untuk saya suamisteri dan anak-anak saya tiga orang dan bapa dan emak mentua saya 7 bahagian,adakah perlu saya menbuat aqiqah untuk anak2 saya lagi.

  • puan rosmah says:

    asalamulaikum,saya nak tanya kalau saya sekeluarga da buat korban lembu untuk saya suamisteri dan anak-anak saya tiga orang dan bapa dan emak mentua saya 7 bahagian kesemuanya ,adakah perlu saya menbuat aqiqah seekor kambing untuk setiap seorang anak2 saya lagi.

  • nizam says:

    Assalamualaikum,

    1.Apakah hukum atau harus seorang anak(Telah Baligh tetapi belum di aqiqah oleh ibubapanya sebelum ini atas sebab ketidakmampuan) mengerjakan ibadah Qurban untuk Ibubapa dan dirinya sendiri.

    2. Apakah tanggungan aqiqah/qurban seorang suami/bapa tiri keatas anak tirinya serta isterinya yg telah memeluk islam.

    wassalam

  • Hamimi Hamzah says:

    Assalamualaikum.
    Saya ingin bertanya, suami saya akan melaksanakan korban tahun ini. Bolehkah suami saya berniat 10 perkara untuk korban tersebut?

  • Azizi Mohd Dharus says:

    Assalamualaikum

    Sempena Hari Raya korban ini saya ada nak kepastian bolehkan seekor lembu di kongsi korban dan aqiqah sekali.Maksud saya 6 bahagian untuk korban dan 1 bahagian untuk aqiqah anak saya.

  • Fauzi Shaari says:

    ustazah, saya ada ladang rusa /kuda , bolehkah saya membuat korban kedua haiwan ini . dan bagaimana kah caranya .mohon jawapan segera .

    05-2499376

  • abd shuhaimi says:

    Asalamulaikum,

    Saya difahamkan aqiqah ialah untuk kanak2 yang belum baligh dan bagi yang baligh dan dewasa hendaklah menyempurnakan korban. benar atau tidak sila beri penjelesan yang muktamat.

  • Razie Ismail says:

    Assalamualaikum,

    Ustazah,
    Soalan saya, berapakah usia minimum yg afdal bg bayi atau kanak2 untuk melaksanakan korban bgnya, setelah aqiqah telah pun dilaksanakan.

  • admin says:

    Waalaikumussalm Wrt Wbt…

    Bagi seorang anak kecil maka sudah tentu aqiqah perlu didahulukan daripada korban. Sebabnya ialah, pertama; kerana ibadah aqiqah merupakan tanggungjawab ibu bapanya yang perlu dilaksanakan seawal mungkin, kedua ; korban merupakan pengorbanan individu yang dituntut bagi mendapatkan ganjaran yang besar di sisi Allah S.W.T., sedangkan tuntutan tersebut belum terletak di atas diri anak itu kerana ia masih kecil dan tiada kemampuan sendiri. Namun tidak menjadi kesalahan sekiranya ingin membuat korban untuk anak kerana ianya di anggap sedekah. Namun adalah lebih baik membuat korban apabila anak itu dudah sampai sempurna akal nya. (baligh)

    Walau bagaimanapun jika bertemu hari aqiqah anak saudara dengan hari raya korban, maka dibolehkan berniat sembelihan tersebut untuk aqiqah dan korban bagi anak tersebut. Wallahuaklam

    Ustz Norhafifa binti Abdul Halim
    Urus Setia korban dan Aqiqah di Kemboja.
    Al-Ameen Serve Holdings sdn. Bhd.

  • EDY says:

    Saya ingin bertanya. Ustazah, saya berumur 29 thn (lelaki). so ibu saya baru mengeluarkan EPF beliau. Disebabkan semasa kecil saya tidak membuat akikah, maka ibu saya ingin membuat majlis akikah terhadap diri saya. Saya ingin bertanya apakah majlis akikah itu dituntut?

    Soalan kedua saya, adakah daging akikah itu boleh saya makan sedikit @ pun tidak dibenarkan?

    Bolehkah ustazah membantu saya. No phone saya (0177295077). Terima kasih, usatazah

  • admin says:

    Assalamualaikum wrt wbt,

    Untuk pengetahuan saudara, Aqiqah merupakan suatu bentuk ibadah apabila seseorang itu dikurniakan anak oleh Allah S.W.T. Maka ia dituntut ke atas setiap ibu bapa yang dikurniakan anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T. Walaupun sebenarnya aqiqah yang paling afdal pelaksanaannya adalah pada 7, 14, 21 hari kelahiran atau sebelum aqil baligh anak tersebut, tetapi sebenarnya aqiqah masih boleh disempurnakan mengikut beberapa pendapat tanpa ada ketetapan umur dalam menyempurnakannya.

    Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. bersabda:
    “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W menuntut untuk dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diaqiqahkannya.” Hadis Riwayat Tirmidzi.

    Manakala mereka yang paling layak menerima sedekah adalah orang fakir dan miskin dari kalangan umat Islam, begitu juga dengan aqiqah, mereka yang paling layak menerima adalah orang miskin di kalangan umat Islam. Walau bagaimanapun berdasarkan beberapa buah hadis dan amalan Rasulullah dan para sahabat, kita disunatkan juga memakan sebahagian daripada daging tersebut, bersedekah sebahagian dan menghadiahkan sebahagian lagi. Wallahuaklam

    Ustazah Norwariza Mohd Hed
    Ketua Urus Setia
    Program Korban Eidul Adha & Aqiqah di Kemboja
    2-1 Tgkt 1 Jln 9/23A
    Medan Makmur Off Jln Usahawan
    53200 Setapak, KL
    Tel: 03-4143 4343 Faks: 03-4149 1414 Emel:korbanaqiqah@alameenserve.com

  • Faizul says:

    Assalamualaikum,

    Ustazah,
    Soalan saya,
    Bolehkah berkongsi tujuh orang (bahagian) bagi seekor lembu dalam ibadah aqiqah?

  • admin says:

    Salam,
    sememangnya 1 ekor lembu (korban / aqiqah) boleh dikongsi sehingga 7 orang (bahagian).

  • nuri says:

    salam ustazah saya ingin tanya..bolehkah guna duit sendiri untuk buat walaupun dia masih tanggungan ibubapa.

  • milia says:

    Assalamualaikum….
    1. Bagaimana kita hendak menentukan korban yang dilakukan itu korban nazar, korban wajib dan korban sunat?.
    2. Sekiranya saya telah berniat pd thn ini akan membuat korban, adakah ia telah jadi korban wajib & saya tidak boleh memakan daging korban tersebut?.

  • admin says:

    Salam,
    Syarat sah korban adalah niat kerana Allah Taala selagimana ia tidak bercanggah dengan syarak. Sekiranya Tuan / Puan telah berniat untuk berkorban ia tidaklah menjadi wajib melainkan Tuan / Puan bernazar untuk melakukan korban. Hukumnya sunat untuk makan daging korban sendiri.
    Imam Syafi’i, menyatakan, boleh mengambil sebahagian daging korban untuk dirinya dan keluarganya. Ini berdasarkan dari ayat Al-Qur’an: “Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir. (QS Al-Hajj 22: 28)
    Daging korban haram diberi kepada orang kafir. Wallahualam..

  • admin says:

    Salam,
    Aqiqah merupakan tanggungjawap ibubapa terhadap anaknya. Ini bermakna, ibu bapa harus menginfaqkan hartanya kepada anak-anak mereka.
    Sekiranya Aqiqah tidak dilakukan sehingga anak sudah dewasa disebabkan ketidak mampuan ibu bapa, maka menurut pandangan ulamak tidak mengapa untuk melakukan ibadah aqiqah untuk diri sendiri.

Leave a Reply

Video Korban Aqiqah
Koleksi Video Korban 1433H Di Kemboja:
Video 1
Video 2
Sertai Sekarang!
Saya berminat untuk menyertai

Penyertaan Melalui Pos/Faks :
Borang Penyertaan Korban
Borang Penyertaan Aqiqah
Borang Penyertaan Wakaf Perigi
Tarikh Tutup Ibadah Korban 1435H : 3 Oct 2014
Ibadah Aqiqah: Dibuka sepanjang tahun

Nama Akaun Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd :
BIMB (Jln Tun Razak)
No. Akaun : 14032010015955
MAYBANK (Tmn Setiawangsa KL)
No. Akaun : 562188100158
Waktu Solat
Kuala Lumpur, Malaysia
3 September 2014

Subuh 5:51am
Syuruk 7:08am
Zohor1:16pm
Asar4:22pm
Maghrib7:20pm
Isyak8:29pm

Lihat Lokasi Lain
Pengurusan Program
AL-AMEEN SERVE HOLDINGS SDN. BHD. (378533T) AJL 931362
2-1, Tingkat 1, Jalan 9/23A, Medan Makmur off Jln Usahawan, 53200 Setapak, Kuala Lumpur.
Malaysia
Tel:03-4143 4343
Faks:03-4149 1414
Email: korbanaqiqah@alameenserve.com

Peta ke Pejabat
Carta Alir Pengurusan
Urus Setia Program
Latarbelakang Syarikat
Surat-surat Sokongan & Kelulusan
Ingin Bertanya?
Ibadah Aqiqah

Aqiqah menurut bahasa ertinya "rambut yang tumbuh di atas kepala bayi yang dibawanya waktu lahir." Demikian pendapat 'Ubaid, Ashmu'i dan Zamakhsyari.

Lagi...
Ibadah Korban

Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah. Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke 2 hijrah bersamaan dengan perintah solat Eidul Adha dan zakat.

Lagi...
Menyambut Cahaya Mata

Baginda s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memperolehi kelahiran cahayamata (anak), maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan diiqamah di telinga kiri, nescaya terlepaslah dari angin tiupan syaitan.” - Maksud Hadis Riwayat al-Baihaqi

Lagi...
Soal Jawab K&A

Diselenggarakan oleh :
Ustazah Norwariza Mohd Hed
B.A (Hons) Syariah Islamiah, Al-Azhar, Mesir


Siapakah yang dituntut oleh Islam untuk melaksanakan aqiqah?
J: Aqiqah merupakan suatu bentuk ibadah apabila seseorang itu dikurniakan anak oleh Allah S.W.T. Maka ia dituntut ke atas setiap ibu bapa...

Lagi...

Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban?
J: Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah...

Lagi...
Testimoni
"Pihak kami bersetuju untuk terus bekerjasama dengan Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd. untuk menjayakan program Korban Eidul Adha & Aqiqah di Kemboja yang akan masuk ke tahun 16"
YB Haji Zakaryya Adam, Ketua Urus Setia Program Korban Eidul Adha & Aqiqah di Kemboja.

Lagi..